Monday, January 9, 2012

Jom Pergi Festival Penulis Grup Buku Karangkraf!

Sempena Karnival Karangkraf 2012 yang bakal diadakan pada 27, 28 dan 29 Januari nanti, Grup Buku Karangkraf akan menganjurkan Festival Penulis sebagai langkah menghargai sumbangan penulis dalam industri penulisan bersama Kumpulan Media Karangkraf.



Bertempat di Kompleks Media Karangkraf, seksyen 15 Shah Alam, orang ramai dijemput hadir seisi keluarga bagi memeriahkan Festival Penulis pada tahun ini selain memberi peluang kepada pembaca untuk bertemu sendiri penulis-penulis yang menjadi kegemaran mereka.


Terdapat pelbagai acara menarik yang sudah diaturkan oleh Grup Buku Karangkraf. Antaranya Sembang Buku yang diadakan tiga hari berturut-turut sepanjang berlangsungnya Festival Penulis. Grup Buku menampilkan barisan panel yang terbaik seperti Ramli Awang Mursyid, Damya Hanna, Ustaz Zaharudin, Ahadiat Akashah, Dr. Robiah K. Hamzah, Zabidi Mohamed, Eyman Haikal, Dr. Fazley Yaakob, Heykal Haniffah serta ramai lagi.


Selain itu terdapat acara ramah mesra bersama penulis-penulis prolifik Grup Buku Karangkraf seperti Aisya Sofia, Aleeya Aneesa, Siti Nur Dhuha, Dr. HM Tuah Iskandar dan ramai lagi. Acara ramah mesra ini membuka peluang kepada orang ramai untuk mendekati penulis dengan lebih rapat lagi serta berkongsi idea dalam sesebuah penulisan.


Terdapat juga acara demonstrasi memasak dan kraftangan oleh selebriti-selebriti popular tanah air. Acara ini amat menarik kerana memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri kepandaian beberapa selebriti terkenal dalam bidang masakan serta kraf.


Pengunjung juga boleh melawat ke gerai jualan buku untuk mendapatkan buku-buku menarik dengan harga diskaun yang berpatutan. Terdapat pelbagai jenis buku seperti novel, buku kanak-kanak, novel remaja, buku agama, buku motivasi, buku resipi, buku kraf dan banyak lagi yang pastinya “sure tak rugi” jika anda membelinya.


So tunggu apa lagi, pastikan 27, 28 dan 29 Januari ini, masa anda free untuk mengunjungi Festival Penulis Grup Buku Karangkraf 2012! Jumpa anda di sana…

No comments: